PANJI-PRATAMA.COM – Md Mahmudul Hasan (2013) menerangkan sastera Islam sebagai sastera yang memenuhi prinsip dan ajaran Islam. Oleh kerana sastera datangnya daripada Allah, maka ketuhanan merupakan teras utama sastera Islam.
Dalam usaha memahami “Kemalam” dan penekanannya terhadap unsur ketuhanan, pengkaji merujuk kepada tiga teori sastera Islam yang dianggap relevan pada hemat pengkaji, iaitu teori Takmilah, teori sastera profetik dan teori estetika didaktis.
Ketiga-tiga pendekatan tersebut menyediakan landasan kepada pengkaji untuk menafsir cara karya sastera berteraskan Islam dapat dibina, dikembangkan dan difahami, terutamanya apabila dikaitkan dengan pengalaman penulis dalam konteks migrasi.
Baca Juga: PASFORINA 2024: Pesta Seni dan Budaya Indonesia di Sabah, Malaysia
Teori Takmilah
Teori Takmilah, yang diperkenalkan oleh Shafie Abu Bakar di Malaysia pada tahun 1993, merupakan satu pendekatan teori kesusasteraan Islam yang berteraskan konsep tauhid (keesaan Tuhan) dan aspirasi mencapai kesempurnaan dalam penghasilan karya. Menurut Abdul Halim Ali (2023), di bawah teori Takmilah, penulis, karya dan pembaca semuanya mempunyai tanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya. Sesebuah karya sastera dianggap belum mencapai kesempurnaannya sekiranya pengarang tidak berniat menjadikan karya sasteranya sebagai suatu bentuk ibadah yang mendekatkan diri penulis dengan Allah. Asas utama teori tersebut ialah kepercayaan bahawa kesusasteraan tidak boleh dan tidak dapat dipisahkan daripada prinsip ketuhanan; dalam erti kata karya sastera mesti berakar umbi dalam kesedaran terhadap Tuhan yang Maha Sempurna.
Menurut Mawar Safei (2019), teori Takmilah menggariskan tujuh prinsip yang saling melengkapi ke arah pembentukan kesempurnaan Islami dalam sastera, iaitu ketuhanan yang menggambarkan Allah Maha Sempurna, kerasulan yang menggambarkan Rasulullah SAW insan kamil, Islam sebagai agama yang sempurna, ilmu sebagai penyempurna kehidupan manusia, sastera yang bersifat estetik dan sempurna, peranan pengkarya dalam menyempurnakan diri, dan peranan khalayak dalam memupuk kesempurnaan dalam diri. Melalui prinsip-prinsip tersebut, teori Takmilah menekankan keseimbangan nilai estetika karya dengan nilai ibadah dan tarbiah rohani. Melaluinya juga, sastera dilihat sebagai wahana untuk membawa pembaca dan penulis lebih dekat kepada Tuhan, sekali gus membentuk identiti kesusasteraan Melayu-Islami yang utuh.
Kajian yang dilakukan oleh Siti Nur Anis Muhammad Apandi dll. (2022) menggambarkan keberkesanan teori Takmilah dalam sastera apabila ramai penulis yang dikaji oleh mereka berjaya menyelitkan unsur dakwah dan pengajaran dalam karya tulisan mereka secara kreatif tanpa mengorbankan keindahan bahasa. Jelaslah, teori Takmilah memberikan kerangka yang menggambarkan penciptaan sastera sebagai ibadah yang menyepadukan estetika dan etika.
Baca Juga: Greta Thunberg Ditangkap Angkatan Laut Israel Saat Bawa Bantuan ke Gaza
Teori sastera profetik
Teori (atau konsep) sastera profetik yang dipelopori oleh Kuntowijoyo di Indonesia pula menekankan peranan sastera sebagai medium transformasi sosial dan spiritual secara serentak. Berbeza sedikit daripada Takmilah yang lebih menumpu pada hubungan individu dengan Tuhan, teori sastera profetik menggabungkan dimensi ketuhanan dengan agenda kemanusiaan dan pembebasan masyarakat. Menurut Mohamad Yazid Abdul Majid, Pabiyah Toklubok dan Mohd Faizal Musa (2017) ketika mengupas pandangan Kuntowijoyo terhadap teori tersebut, sastera harus berteraskan tiga nilai etika profetik, iaitu amar makruf (mengajak kepada kebaikan atau humanisasi), nahi mungkar (mencegah kemungkaran atau liberasi) dan iman billah (keimanan kepada Allah atau transendensi).
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”
(Al-Quran, 3:110)
Integrasi ketiga-tiga komponen yang membentuk teori sastera profetik menjadikan sesebuah karya bersifat holistik (kaffah) dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kebatilan sambil menghubungkan semuanya dengan kesedaran Ilahi. Dengan kata lain, teori sastera profetik bercita-cita melahirkan umat terbaik (khayra ummah) melalui karya yang bukan sahaja sarat dengan kritik sosial dan pembelaan terhadap golongan tertindas (unsur humanisasi dan liberasi), tetapi pada masa sama menyemai nilai spiritual, keinsafan dan ketuhanan (unsur transendensi). Kehadiran elemen transendensi tersebut menjadikan sastera profetik menonjol sebagai sastera dakwah yang aktif.
Kuntowijoyo menegaskan bahawa pengarang perlu memasukkan dimensi ketuhanan secara sedar dalam naratif mereka agar karya tersebut mempunyai “kesedaran profetik” yang mampu menggerakkan pembaca ke arah kebaikan duniawi dan ukhrawi secara serentak. Beliau menggalakkan penerapan nilai-nilai sufistik seperti rasa takut kepada Tuhan (khauf), harapan kepada rahmat-Nya (rajaa), tawakal, reda, syukur dan ikhlas dalam karya sebagai manifestasi unsur iman billah. Pendekatan ini sejajar dengan pandangan sarjana seperti Abdul Hadi WM, yang menyatakan bahawa pada kemuncaknya, pengalaman mistik kerohanian bertemu dengan pengalaman estetika dalam sastera. Ertinya, keindahan puisi boleh berfungsi menyampaikan pengalaman ketuhanan yang mendalam. Melalui Sastera Profetik, elemen moral-keagamaan bukan lagi sisipan sampingan, tetapi menjadi teras naratif yang menggerakkan mesej pencerahan spiritual serta pembaikan sosial sekaligus (Mohamad Yazid, Pabiyah & Mohd Faizal, 2019).
Baca Juga: Mengenal Sosok Hassan Eslaih, Jurnalis yang ‘Ditargetkan’ Israel
Estetika didaktis
Estetika didaktis merujuk kepada pendekatan kesusasteraan yang menekankan fungsi mendidik dan menyampaikan pengajaran (didaktik), di samping memastikan karya memiliki mutu estetika dan kehalusan seninya. Tradisi sastera Melayu-Islam sememangnya kaya dengan karya berunsur teladan dan hikmah, daripada pantun nasihat, syair ketauhidan sehinggalah puisi moden bernada dakwah. Dalam kerangka sastera Islam moden, ramai pengkaji menegaskan betapa pentingnya elemen didaktik diserap dalam karya tanpa mengabaikan keindahan.
Adnan M. Wazzan (1985) umpamanya berpendapat bahawa karya sastera Islam mesti teguh berpegang pada ajaran syariat namun tidak boleh mengabaikan bentuk dan keindahan sastera itu sendiri. Ismail al-Faruqi (1997) pula menegaskan bahawa sastera yang tidak membawa kepada nilai kebaikan atau kebajikan dianggap seolah-olah tidak menghasilkan sastera langsung. Penulis dan sarjana Yahya MS (1998) menggariskan empat prinsip teras yang wajar ada pada karya sastera Islam: keimanan (akidah tauhid kepada Tuhan), amal soleh, mengingati Allah dalam apa jua keadaan (unsur ihsan), dan keadilan (tidak menzalimi atau menindas melalui karya). Jelas di sini bahawa fungsi ta’lim (pendidikan) dan tazkiyah (penyucian jiwa) dianggap asas dalam estetika sastera Islam; karya yang baik bukan sahaja indah dari segi susunan kata, malah menyampaikan pengajaran rohani dan moral kepada pembaca.
Namun, penyampaian nilai didaktik dalam sastera memerlukan kearifan dan kreativiti agar mesej tidak terasa kaku atau bersifat khutbah semata-mata. Kehalusan seni dalam menyampaikan pengajaran inilah yang membezakan karya sastera daripada sekadar teks peraturan moral. Puisi-puisi Melayu moden banyak memberikan contoh kejayaan menggabungkan keindahan bahasa dengan mesej ketuhanan yang mendalam. Kajian terhadap puisi Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi mendapati bahawa beliau berupaya menyampaikan dakwah dan teladan secara kreatif dengan menyelitkan pelbagai nilai murni dalam puisinya. Hasyuda Abadi terkenal dengan penerapan unsur keislaman dan kerohanian dalam sajak-sajak beliau.
Perkara tersebut menjadikan puisinya bukan sahaja indah dari segi metafora dan perlambangan, malah menjadi wadah pendidikan rohani kepada masyarakat selari dengan ciri tradisi sastera Melayu yang sememangnya menekankan unsur pendidikan kepada khalayak. Oleh itu, pendekatan estetika didaktis menjadi landasan penting untuk menganalisis antologi puisi “Kemalam”, tepatnya kaedah puisi-puisi dalam antologi tersebut menyampaikan mesej spiritual dan moral secara tersirat mahupun tersurat tanpa mengorbankan nilai sasteranya. (bersambung ke bagian 3)
(*) Esai Sastra ini dibentangkan pada kegiatan Dialog Regional Kalimantan-Borneo (DSBK) XVI di Hotel Harris, Samarinda, Rabu malam (18/6).
——
Awang Abdul Muizz Bin Awang Marusin adalah seorang dosen di Institut Latihan Perindustrian, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. Menekuni dunia sastera sejak tahun 2009, karya-karyanya diterbitkan di media-media lokal dan nasional Malaysia. Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023, Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Penerima Hadiah Sastera Sabah 2022/2023 (Esei Kritikan Sastera) ini kini menjadi Ketua I Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Artikel ini adalah bagian dari Mitra Promedia Group dan sudah tayang dengan judul “Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 2)”
Baca selengkapnya di: https://www.nongkrong.co/apresiasi/43115402344/esai-sastra-karya-awang-abdul-muizz-awang-marusin-peranan-ketuhanan-dalam-pembinaan-kesusastraan-anak-anak-indonesia-di-malaysia-bagian-2

Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 1)
Empat Hari Saling Serang, Israel Menyerang Rumah Sakit di Iran
PASFORINA 2024: Pesta Seni dan Budaya Indonesia di Sabah, Malaysia