PANJI-PRATAMA.COM – Seperti yang diakui oleh S.E. Peni Adji (2018), fenomena migrasi rentas sempadan telah melahirkan generasi muda diaspora yang memiliki pengalaman budaya dan identiti yang unik.
Anak-anak Indonesia yang membesar di Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran sosioekonomi dan penyesuaian hidup sebagai perantau. Dalam konteks ini, nilai-nilai kerohanian sering menjadi tonggak kekuatan dalaman dan sumber inspirasi bagi mereka.
Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), sebagai salah sebuah sekolah antarabangsa di Sabah, mengakui bahawa keberadaannya penting dalam menyediakan ruang ekspresi kepada para pelajar, terutamanya anak-anak Pekerja Migran Indonesia (PMI), sekali gus menyemai keyakinan diri mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran di perantauan.
Baca Juga: DSBK Mewujudkan Sinergi, Merangsang Literasi
Nilai agama dan kepercayaan menjadi pendorong semangat serta mekanisme daya tahan bagi golongan tersebut dalam menghadapi kehidupan jauh dari tanah air. Kajian ini hendak membincangkan peranan ketuhanan dalam membina kesusasteraan anak-anak Indonesia di Malaysia, dengan merujuk secara khusus kepada pengalaman penerbitan dan kandungan buku antologi puisi “Kemalam”.
“Kemalam” merupakan sebuah antologi puisi karya murid dan guru SIKK yang memanifestasikan suara hati generasi muda diaspora Indonesia di Sabah. Melalui kajian ini, pengkaji menyorot latar belakang antologi puisi tersebut, tema-tema yang diangkat olehnya dan kaitannya dengan pengalaman kerohanian para penulis.
Kajian ini juga hendak mengetengahkan tiga teori sastera yang didapati daripadanya, iaitu teori Takmilah, teori sastera profetik dan teori estetika didaktis. Beberapa buah puisi terpilih daripada “Kemalam” dianalisis untuk meneliti penerapan unsur ketuhanan dan nilai moral didaktik di dalamnya serta dibuat perbandingan dengan karya-karya sastera seumpamanya di Kepulauan Borneo seperti puisi-puisi Hasyuda Abadi dari Malaysia dan Adi Rumi dari Brunei bagi melihat persamaan gaya penulisan berunsur kerohanian.
Baca Juga: Empat Hari Saling Serang, Israel Menyerang Rumah Sakit di Iran
Tentang “Kemalam”
Antologi puisi “Kemalam” diterbitkan oleh Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada tahun 2024 hasil kerjasama antara IPS dan SIKK. Antologi ini mengumpulkan seramai 69 orang penulis muda, terdiri daripada 66 orang murid dan 3 orang guru SIKK, yang secara kreatif mengekspresikan karya di bawah tema tunggal iaitu “kerinduan”.
Menariknya, hampir kesemua penulis menafsirkan konsep kerinduan tersebut sebagai kerinduan yang bersifat keagamaan atau kerinduan terhadap Tuhan. Hal ini menjadikan puisi-puisi dalam “Kemalam” bercorak mistik dan kerohanian sehingga “Kemalam” memperlihatkan bahawa puisi berunsur ketuhanan masih menjadi pilihan utama generasi muda penulis diaspora ini untuk meluahkan isi hati dan pemikiran mereka.
Latar belakang para penulis antologi puisi “Kemalam” sebagai anak-anak perantau jelas mempengaruhi suara dan tema karya mereka. Hampir semua penyair dalam antologi tersebut merupakan individu yang berada jauh dari tanah air Indonesia.
Baca Juga: 60 Pelajar Jelajahi AI, IoT, dan Python dalam Program Zero to Hero Maker
Justeru, kerinduan yang diluahkan cenderung terarah kepada Yang Maha Esa sebagai sumber kekuatan dan penghiburan jiwa. Panji Pratama selaku salah seorang penyelenggara dan penulis antologi puisi “Kemalam” menyebut bahawa para penulis “Kemalam” berkongsi matlamat hidup yang sama iaitu “berdialog dengan Tuhan demi memperoleh ketenangan yang syahdu” (Panji Pratama, Sahyuddin & Dadan Maulana Ramdhan, 2024).
Pengalaman migrasi dan perasaan terpisah daripada keluarga dan tanah air mereka ungkapkan melalui lensa spiritual, yang mana unsur ketuhanan menjadi elemen penyatu dan penguat semangat dalam puisi-puisi tersebut. Sebagai contoh, tema kerinduan pada Tuhan tergambar melalui ungkapan rindu untuk “kembali kepada-Nya” dalam beberapa buah puisi sebagai menandakan bentuk kerinduan rohani yang mendalam berbanding kerinduan bersifat duniawi biasa.
Baca Juga: Israel Serang Iran, Panglima Tertinggi Korps Garda Revolusi Islam (IRGC) Iran Tewas
“Kemalam” muncul sebagai salah satu pencapaian penting hasil inisiatif literasi serantau di Malaysia. Apa tidaknya, SIKK merupakan sekolah kelima dan satu-satunya sekolah antarabangsa di Sabah yang berjaya menerbitkan karya sastera warganya di bawah naungan penerbitan IPS. Penerbitan antologi tersebut mencerminkan kejayaan kerjasama SIKK-IPS dalam melaksanakan program-program pemupukan budaya literasi di Sabah.
Penerbitan antologi tersebut juga turut dilihat sebagai simbol terjalinnya hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan dan sosiobudaya. Dengan kata lain, antologi tersebut bukan sahaja memperkaya khazanah sastera belia, tetapi juga menjadi wadah integrasi budaya serantau dan lambang persaudaraan dua negara melalui bahasa dan sastera. (bersambung ke bagian 2)
(*) Esai Sastra ini dibentangkan pada kegiatan Dialog Regional Kalimantan-Borneo (DSBK) XVI di Hotel Harris, Samarinda, Rabu malam (18/6).
——
Awang Abdul Muizz Bin Awang Marusin adalah seorang dosen di Institut Latihan Perindustrian, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. Menekuni dunia sastera sejak tahun 2009, karya-karyanya diterbitkan di media-media lokal dan nasional Malaysia. Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023, Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Penerima Hadiah Sastera Sabah 2022/2023 (Esei Kritikan Sastera) ini kini menjadi Ketua I Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Artikel ini adalah bagian dari Mitra Promedia Group dan sudah tayang dengan judul “Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 1)”
Baca selengkapnya di: https://www.nongkrong.co/apresiasi/43115376684/esai-sastra-karya-awang-abdul-muizz-awang-marusin-peranan-ketuhanan-dalam-pembinaan-kesusastraan-anak-anak-indonesia-di-malaysia-bagian-1

Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 2)
Empat Hari Saling Serang, Israel Menyerang Rumah Sakit di Iran
PASFORINA 2024: Pesta Seni dan Budaya Indonesia di Sabah, Malaysia