NONGKRONG.CO – Pengalaman anak-anak Indonesia di Malaysia sebagaimana terakam dalam antologi puisi “Kemalam” menyerlahkan betapa pentingnya nilai-nilai spiritual sebagai penyokong psikologi dan pembentuk identiti mereka. Berada di rantau asing pada usia muda, terpisah daripada tanah air dan kadangkala daripada keluarga dan sanak saudara, pastinya mencetuskan rasa kekosongan, kerinduan dan kekeliruan identiti.
Dalam situasi sedemikian, pegangan agama dan ekspresi kerohanian menjadi satu mekanisme penyesuaian diri yang amat berharga. Nuraini A. Manan (2012) mengiktiraf ekspresi kerohanian sebagai sebahagian daripada psikoterapi dalam Islam. Puisi-puisi “Kemalam” memberikan bukti anekdot bahawa para pemuda migran memilih untuk menangani kerinduan dan kegelisahan mereka dengan cara mendekatkan diri kepada Tuhan melalui karya sastera. Mereka mengalihkan kerinduan terhadap ibu bapa, keluarga, atau tanah air ke dimensi yang lebih tinggi – iaitu kerinduan terhadap Sang Pencipta – sehingga emosi yang dialami mendapat makna spiritual dan tidak terjerumus kepada keputusasaan.
Nilai-nilai spiritual seperti iman, sabar, syukur, taubat dan reda yang diutarakan dalam puisi-puisi tersebut turut memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah mereka. Sebagai contoh, apabila seorang pelajar menulis tentang penyesalan dan tekad bertaubat kepada Tuhan, secara tidak langsung dia bukan sahaja berpuisi tetapi sedang mendidik jiwanya sendiri untuk menjadi insan yang lebih baik.
Proses kreatif ini menjadi semacam terapi kendiri atau muhasabah diri yang memperkukuh jati diri berlandaskan agama. Bagi khalayak pembaca pula, terutamanya rakan sebaya mereka di sekolah atau komuniti sekitar, karya-karya tersebut memberikan mesej positif bahawa anak-anak migran ini memiliki nilai murni, tahu membezakan baik dan buruk serta mempunyai pegangan agama yang teguh. Mesej tersebut boleh membantu mengikis stereotaip negatif terhadap anak pendatang, jika ada, dan menimbulkan rasa hormat serta empati daripada masyarakat setempat.
Di samping itu, dimensi spiritual dalam kesusasteraan anak migran berpotensi menjadi jambatan budaya antara komuniti pendatang dan komuniti tempatan. Nilai-nilai ketuhanan yang digarap sebenarnya bersifat universal – kerinduan kepada Tuhan, pencarian makna hidup, perjuangan menundukkan ego dan nafsu. Semua itu adalah pengalaman kemanusiaan sejagat yang boleh difahami melangkaui batas negara dan etnik.
Penerbitan antologi puisi “Kemalam” dengan kerjasama penulis Sabah membuka ruang kepada masyarakat Malaysia – termasuk pembaca Sabah yang berbilang kaum – untuk menghayati suara hati anak-anak Indonesia melalui perspektif rohani. Hal ini selaras dengan matlamat program literasi yang mendukung penerbitan “Kemalam”, iaitu memupuk perpaduan dan persefahaman merentas perbezaan latar belakang. Nilai spiritual menjadi landasan pertalian. Misalnya, seorang guru atau pelajar tempatan yang membaca salah satu puisi dalam “Kemalam” mungkin dapat merasakan keikhlasan doa dan harapan yang disuarakan lalu menyedari bahawa mereka berkongsi nilai kemanusiaan dan keimanan yang sama dengan anak migran tersebut.
Dari sudut pembinaan masa depan, pengalaman menghasilkan karya berunsur ketuhanan tersebut menyumbang kepada pengembangan kesusasteraan generasi baharu. Anak-anak migran yang terlibat telah didedahkan kepada dunia penulisan kreatif dan penerbitan pada usia muda, sesuatu yang tidak mungkin berlaku melainkan dengan sokongan institusi seperti SIKK dan IPS.
Pengalaman tersebut melahirkan penulis-penulis pelapis yang mempunyai perspektif unik – perpaduan pengalaman diaspora dengan tasawur Islam – sekaligus memperkayakan landskap sastera serantau. Sekiranya bimbingan berterusan dan peluang diberikan, tidak mustahil suatu hari nanti akan muncul novelis, penyair atau dramatis terkemuka dari kalangan bekas pelajar SIKK ini yang membawa suara komuniti mereka ke peringkat lebih tinggi. Nilai-nilai kerohanian yang telah berakar dalam diri mereka melalui latihan menulis puisi sejak remaja akan terus menjadi kompas dalam berkarya, memastikan bahawa karya yang dihasilkan kelak tidak lari daripada landasan kebenaran dan kebaikan.
Secara ringkasnya, dapatlah ditegaskan bahawa nilai-nilai ketuhanan berperanan sebagai agen pembinaan diri dan komuniti bagi anak-anak Indonesia di Malaysia. Melalui kesusasteraan, mereka menemukan medium efektif untuk menyalurkan emosi dan idea secara positif. Peranan ketuhanan di sini bukan sahaja dalam konteks teologi peribadi tetapi meluas kepada pembinaan sastera. Dengan kata lain, unsur spiritual menjadi nadi yang membina dan mengembangkan kesusasteraan anak-anak migran ini, sekaligus memartabatkan suara mereka dalam khazanah sastera Nusantara.
Memandang ke hadapan
Secara keseluruhan, kajian ini berjaya menunjukkan antologi puisi “Kemalam” sebagai satu contoh manifestasi peranan ketuhanan dalam pembangunan kesusasteraan belia migran. Dalam antologi tersebut, anak-anak Indonesia di Malaysia telah berjaya mengungkapkan kerinduan, kegelisahan dan harapan mereka melalui puisi yang berakar pada nilai spiritual yang teguh. Elemen ketuhanan terbukti berfungsi sebagai sumber ilham dan asas moral bagi para penulis muda, sehingga karya yang terhasil bukan sahaja menjadi terapi emosi bagi diri mereka, malah menyampaikan pengajaran dan nilai murni kepada pembaca.
Analisis berlandaskan teori Takmilah, sastera profetik dan estetika didaktis memperlihatkan bahawa karya-karya “Kemalam” memenuhi ciri-ciri sastera Islam yang mementingkan keseimbangan antara keindahan seni dan mesej kerohanian. Malah, pengalaman “Kemalam” menyerlahkan potensi sastera sebagai medium integrasi sosial dan wadah pembinaan jati diri generasi muda berlandaskan agama.
Berdasarkan dapatan dan perbincangan kajian ini, pengkaji menyenaraikan beberapa saranan kepada komuniti penulis dan penggiat sastera di dalam dan luar wilayah Borneo-Kalimantan:
- Pemerkasaan kerjasama sastera merentas sempadan negara. Badan-badan penulis dan institusi pendidikan disaran memperbanyak projek kerjasama yang melibatkan penulis muda dari komuniti berbeza negara. Inisiatif seperti penerbitan antologi bersama wajar diteruskan kerana terbukti mampu menggilap bakat terpendam dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan persaudaraan serantau. “Kemalam” boleh dijadikan model bagaimana bimbingan dan kerjasama kolektif dapat melahirkan karya bermutu daripada kalangan yang mungkin terpinggir.
- Penerapan nilai spiritual dan didaktik dalam karya sastera. Penulis dan pendidik disaran mengintegrasikan nilai-nilai spiritual yang universal dalam kegiatan sastera, terutamanya melibatkan remaja. Hal ini bukan bermaksud setiap karya harus berunsur keagamaan secara langsung, tetapi penekanan kepada nilai seperti keinsafan, kasih sayang, kesyukuran, dan kemanusiaan wajar dijadikan asas penceritaan. Nilai-nilai ini boleh merentasi batas agama dan budaya, dan berupaya membentuk akhlak pembaca muda. Komuniti penulis di rantau ini perlu melihat sastera sebagai wadah pembinaan watak dan jati diri tanpa mengorbankan kualiti estetika.
- Sokongan kepada penulis muda diaspora. Komuniti sastera serantau hendaklah memberi perhatian dan sokongan berterusan kepada penulis-penulis muda dari kelompok diaspora. Perkara tersebut boleh dilakukan melalui penganjuran bengkel penulisan kreatif melibatkan komuniti migran, pertandingan penulisan di peringkat serantau dan antarabangsa, serta penerbitan karya mereka dalam media arus perdana. Dengan memberi ruang suara kepada pengalaman unik anak-anak migran, kesusasteraan serantau akan bertambah kaya dari segi tema dan perspektif. Di samping itu, sokongan moral dan material (seperti biasiswa kesenian atau anugerah khas) akan menyemarakkan semangat mereka untuk terus berkarya. Usaha ini juga penting sebagai sebahagian daripada agenda keterangkuman dalam pembangunan budaya demi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus perdana sastera.
Penyelidikan lanjut terhadap sastera migran. Para ahli akademik dan pengkaji sastera disarankan untuk meluaskan penyelidikan terhadap karya-karya yang dihasilkan oleh komuniti migran di negara masing-masing. Penyelidikan terhadap antologi puisi karya penulis migran, seperti “Kemalam” misalnya, boleh diperkaya dengan pendekatan perbandingan rentas disiplin, yakni menggabungkan sudut pandang sastera, sosiologi dan psikologi. Hasil kajian kemudiannya boleh dijadikan rujukan untuk merangka dasar pendidikan atau kebudayaan yang lebih sensitif terhadap komuniti migran.
Baca Juga: Sinopsis Squid Game 3 Episode 1: Key and Knives
Sebagai kesimpulan, antologi puisi “Kemalam” membuktikan bahawa semangat ketuhanan mampu menjadi pendorong kuat dalam penciptaan sastera oleh generasi muda walaupun mereka berada dalam situasi serba kekurangan dan terasing dari tanah air. Peranan ketuhanan dalam sastera bukan sahaja melahirkan karya-karya puitis yang indah, malah turut membina peribadi, komuniti dan jalinan persaudaraan melalui sastera. Melalui sastera berteraskan spiritual dan kemanusiaan, rantau Borneo-Kalimantan khasnya dan Nusantara amnya dapat mengorak langkah ke arah lanskap kesusasteraan yang lebih inklusif, berjati diri dan luhur nilai budinya.(end)
Rujukan
Abdul Halim Ali (2020). Kesepaduan Stail dengan Perutusan dalam Sajak-sajak Terpilih Lima Penyair Sabah. Jurnal Melayu, 19(1), 88-104.
Abdul Halim Ali (2023). Sejarah Perkembangan Teori-teori Sastera Malaysia. The International Journal of Arts, Culture & Heritage (iJACH), 10, 73-106.
Mawar Safei (2019). Didaktisisme Islami dalam Cerpen Melayu Mutakhir. Akademika, 89(Khas), 55-67.
Md Mahmudul Hasan (2016). Islamic literature: definition, nature and scope. IIUC Studies, 13, 43-52.
Mohamad Yazid Abdul Majid, Pabiyah Toklubok & Mohd Faizal Musa (2017). Gagasan Sastera Islam (Profetik) oleh Kuntowijoyo. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, 4(2), 150-162.
Morsidi Muhamad (2013, November 6-9). Puisi Adi Rumi: Pengutaraan tentang Kehidupan Beragama [Kertas kerja]. Persidangan Kesusasteraan HISKI ke-23, Banjarmasin, Indonesia.
Nuraini A. Manan (2012). Seni Ala Sufi dalam Pendekatan Diri kepada Tuhan dan Implikasinya dalam Psikoterapi Islam. Jurnal Substantia, 14(2), 251-262.
Panji Pratama, Sahyuddin & Dadan Maulana Ramdhan (penyelenggara) (2024). Antologi Puisi Siswa dan Guru Sekolah Indonesia Kota Kinabalu “Kemalam”. Kota Kinabalu: Ikatan Penulis Sabah.
S.E. Peni Adji (2018). Sastra Diaspora-Indonesia: Karya Imigran Indonesia di Amerika Tahun 2010-an. Jurnal Ilmiah Kebudayaan SINTESIS, 12(1), 1-15.
Siti Nur Anis Muhammad Apandi dll. (2022). Pemaparan Jenis Akhlak Menerusi Kumpulan Puisi as-Salam Karya Suhaimi Haji Muhammad Berdasarkan Teori Takmilah. PENDETA, 13(1), 47-57.
(*) Esai Sastra ini dibentangkan pada kegiatan Dialog Regional Kalimantan-Borneo (DSBK) XVI di Hotel Harris, Samarinda, Rabu malam (18/6).
Artikel ini adalah bagian dari Mitra Promedia Group dan sudah tayang dengan judul “Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 5)”
Baca selengkapnya di: https://www.nongkrong.co/apresiasi/43115421432/esai-sastra-karya-awang-abdul-muizz-awang-marusin-peranan-ketuhanan-dalam-pembinaan-kesusastraan-anak-anak-indonesia-di-malaysia-bagian-5?page=3

Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 4)
Empat Hari Saling Serang, Israel Menyerang Rumah Sakit di Iran