PANJI-PRATAMA.COM – Antologi puisi “Kemalam” menawarkan pelbagai contoh puisi yang memperlihatkan peranan unsur ketuhanan dalam pengalaman anak-anak migran. Dalam analisis ini, fokus diberikan kepada beberapa puisi yang mewakili tema kerohanian, khususnya yang menonjolkan unsur tauhid, muhasabah diri (refleksi moral), dan ekspresi kerinduan kepada Ilahi.
Analisis ini dibuat dengan berpandukan kerangka teori Takmilah, sastera profetik dan estetik didaktis untuk melihat keberkesanan prinsip-prinsip tersebut terhadap puisi-puisi karya para pelajar dan guru SIKK.
Salah satu puisi yang menjadi judul antologi, iaitu “Kemalam” karya Adam Ramadhan, dapat dijadikan contoh yang signifikan. Puisi ini mengungkap pengalaman seorang remaja menikmati ketenangan waktu senja sambil merenungi keindahan alam ciptaan Tuhan. Melalui puisi tersebut, penyair mengimbau kenangan silam yang kelam dan menzahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk memperbaiki diri.
Aku bersyukur masih diberi kesempatan
untuk tidak mengulang kesalahan
dan terima kasih Tuhan
atas sifatmu yang senantiasa memaafkan
– Adam Ramadhan, Kemalam (Panji, Sahyuddin & Dadan, 2024)
Ungkapan “terima kasih Tuhan atas sifat-Mu yang senantiasa memaafkan” menjadi penutup puisi tersebut, menunjukkan rasa syukur dan pengakuan terhadap sifat Allah yang Maha Pengampun. Dari sudut Takmilah, puisi ini jelas meletakkan elemen Ketuhanan sebagai paksi. Melalui puisi tersebut, penulis mendekatkan diri kepada Tuhan melalui apresiasi alam dan pengakuan dosa sehingga puisi tersebut dilihat sebagai satu usaha penyucian jiwa yang selari dengan prinsip mencari kesempurnaan rohani.
Elemen amal soleh dan muhasabah diri terserlah apabila penyair menegaskan azam untuk tidak mengulangi kesilapan lampau sebagai menandakan kesedaran etika yang tinggi. Hal ini memenuhi tuntutan estetika didaktis kerana pembaca turut diingatkan tentang pentingnya mensyukuri nikmat Tuhan dan bertaubat atas kesilapan. Meskipun disampaikan ringkas, mesej moral itu hadir dalam bentuk pengalaman estetika peribadi yang menyentuh emosi, bukan secara didaktik yang kaku.
Puisi lain yang bertemakan penyesalan dan taubat, seperti “Dosa” (karya Noorfadillah) dan “Rindu yang Terucap” (karya Siti Aisyah), memperkukuh pemerhatian bahawa kerinduan spiritual ialah teras ekspresi para penulis “Kemalam”. Dalam puisi “Dosa”, penulis meluahkan perasaan insaf setelah menyedari dirinya tersesat dibuai dosa: “Kubersujud kepada-Nya, memohon ampunan dari-Nya; kurindu untuk kembali kepada-Nya”. Kata-kata ini menggambarkan suatu kerinduan kerohanian yang amat mendalam, yakni rindu untuk kembali berada dalam limpahan kasih sayang Tuhan setelah lama terleka. Naratif puisi beralih daripada kekosongan jiwa akibat dosa kepada kemuncak penyesalan dan keinginan untuk bertaubat.
Naratif tersebut selari dengan konsep transendensi dalam teori sastera profetik, yang mana pengalaman negatif (gelap dosa) diatasi melalui hubungan semula dengan Yang Maha Esa (cahaya keimanan). Malah, frasa “rindu untuk kembali kepada-Nya” menggambarkan secara literal hubungan manusia dengan Allah (habluminallah) yang ingin dipulihkan sehingga menjadi satu penegasan bahawa kebahagiaan hakiki bagi jiwa yang merantau di dunia ialah kembali dekat dengan Pencipta.
Cahayaku mulai meredup
ditimbuni oleh dosa-dosaku
membuatku terjatuh jauh darinya
mencengkamku agar tak bisa keluar
Kubersujud kepadanya
memohon ampunan dari-Nya
kurindu untuk kembali kepada-Nya
– Noorfadillah, Dosa (Panji, Sahyuddin & Dadan, 2024)
Puisi “Rindu yang Terucap” pula menampilkan suara hati seorang anak migran yang berdoa memohon ampun dan hidayah Ilahi. Dalam bait puisinya, terselit dialog langsung dengan Tuhan: penulis menyatakan tidak akan mensia-siakan waktu lagi dan menyedari Tuhanlah “cahaya di kelamnya dunia”, tempat bergantung di kala diri merasa hilang arah.
Kedua-dua puisi ini mengandungi elemen didaktik yang kuat yang membolehkan pembaca diasuh untuk menyedari akibat kelalaian dan pentingnya kembali ke jalan agama. Namun, pengajaran itu disampaikan melalui luahan emosi dan citra puitis (seperti metafora cahaya dan kegelapan) yang menggerakkan imaginasi. Gaya bahasa yang ditonjolkan dalam puisi tersebut memenuhi kriteria estetika didaktis yang mana keindahan bahasa tidak dikesampingkan walaupun mesej moral begitu dominan.
Maaf untuk waktu yang sia-sia
kembali kutunduk dalam sujud penuh makna
Engkaulah cahaya di kelamnya dunia
rindu ini takkan pernah sirna
– Siti Aisyah, Rindu yang Terucap (Panji, Sahyuddin & Dadan, 2024)
Baca Juga: Sinopsis Squid Game 3 Episode 1: Key and Knives
Dari sudut teori Takmilah, puisi-puisi dalam “Kemalam” jelas memenuhi prinsip ketuhanan dan keislaman apabila hampir kesemua penulis mengaitkan pengalaman hidup dengan hubungan kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa. Suasana perantauan yang mencabar dilihat mendorong para penulis antologi tersebut mencari makna melalui agama.
Tuhan dijadikan tempat mengadu dan destinasi kerinduan sebagai menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh ketiadaan tanah air atau sanak saudara di sisi. Hal ini menunjukkan peranan ketuhanan sebagai kompas emosi bagi anak-anak migran tersebut. Melalui puisi, mereka membina jati diri dan kekuatan rohani. Contohnya, dengan melafazkan kerinduan kepada Tuhan, para penulis muda ini sebenarnya mencipta ruang selamat untuk mereka meluah rasa dan sekali gus mengukuhkan identiti mereka sebagai Muslim yang berada jauh dari bumi Indonesia.
Selain itu, terdapat juga bibit-bibit agenda profetik dalam beberapa karya meskipun hanya tertera secara implisit. Ada antara puisi yang menyentuh realiti sosial di sekeliling – misalnya melihat kemiskinan, memori kekerasan hidup – lalu menterjemahkannya sebagai renungan spiritual. Tindakan tersebut menyerupai konsep amar makruf nahi mungkar; dalam erti kata para penulis bukan sekadar meratapi nasib, malah cuba mencari hikmah dan kebaikan di sebalik kesukaran, serta menolak kejahatan dengan menyisipkan nilai keagamaan.
Meskipun skala dan cakupan kritikan sosial para penulis antologi tersebut tidak seintens karya sasterawan mapan, benih kesedaran tersebut sudah pun wujud. Keadaan ini menandakan bahawa kesusasteraan anak migran, walaupun berfokus pada pengalaman peribadi, mempunyai potensi berkembang menjadi sastera profetik yang lebih matang. Dengan bimbingan dan pendedahan lanjut, generasi penulis muda diaspora ini boleh mengangkat isu-isu kemanusiaan sejagat dalam karya mereka tanpa meninggalkan landasan tauhid.
Secara keseluruhannya, analisis puisi-puisi “Kemalam” menunjukkan peranan unsur ketuhanan sebagai tunjang dalam proses kreatif dan emosi para penulis muda tersebut. Kerinduan spiritual yang dizahirkan menerusi puisi membantu mereka mengartikulasikan identiti dan harapan di tengah kehidupan merantau. Melalui penulisan, mereka membina jambatan antara pengalaman diaspora dengan nilai agama yang dibawa dari tanah air. Hasilnya, terbina satu korpus kecil kesusasteraan kanak-kanak dan remaja migran yang sarat dengan mesej ketuhanan, penyesalan, harapan dan moral, yakni kesusasteraan yang membina jiwa bukan sahaja bagi penulisnya, tetapi juga bagi pembaca. (bersambung ke bagian 4)
(*) Esai Sastra ini dibentangkan pada kegiatan Dialog Regional Kalimantan-Borneo (DSBK) XVI di Hotel Harris, Samarinda, Rabu malam (18/6).
Artikel ini adalah bagian dari Mitra Promedia Group dan sudah tayang dengan judul “Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 3)”
Baca selengkapnya di: https://www.nongkrong.co/apresiasi/43115407970/esai-sastra-karya-awang-abdul-muizz-awang-marusin-peranan-ketuhanan-dalam-pembinaan-kesusastraan-anak-anak-indonesia-di-malaysia-bagian-3?page=4

Esai Sastra Karya Awang Abdul Muizz Awang Marusin: Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan Kesusastraan Anak-Anak Indonesia di Malaysia (Bagian 2)
Empat Hari Saling Serang, Israel Menyerang Rumah Sakit di Iran
PASFORINA 2024: Pesta Seni dan Budaya Indonesia di Sabah, Malaysia
Sinopsis Squid Game 3 Episode 1: Key and Knives